Panduan Ziarah
- Hits: 82
- Hits: 82
MODUL ZIARAH CAKNA PESAKIT
Sahabat Hospital Selangor — Panduan Rasmi Untuk Sukarelawan
Panduan Penggunaan Modul
Modul ini disediakan sebagai buku panduan ringkas bagi sukarelawan yang ingin melaksanakan aktiviti ziarah pesakit secara sistematik, beradab dan menepati garis panduan Islam.
Fungsi Modul
- Sebagai latihan pra-ziarah: memberi kefahaman dan kemahiran asas kepada peserta.
- Sebagai panduan semasa ziarah: memastikan tatacara dan adab dipatuhi.
- Sebagai bahan refleksi: membantu peserta menilai semula pengalaman ziarah untuk penambahbaikan diri.
Struktur Modul
- Pengenalan & Objektif
- Motivasi Ziarah
- Adab & Etika Ziarah
- Langkah Pelaksanaan Ziarah (Sebelum / Semasa / Selepas)
- Penutup
- Instrumen: Senarai Semak, Soal Selidik, Borang Maklum Balas & Refleksi
Pengenalan Modul
Program Ziarah Cakna Pesakit lahir daripada keperluan untuk memberi sokongan moral, spiritual dan sosial kepada pesakit serta waris yang berhadapan dengan ujian kesihatan. Ziarah ini berperanan bukan sahaja sebagai aktiviti kebajikan, tetapi juga platform pendidikan nilai dan kerohanian, khususnya kepada sukarelawan muda agar mereka memahami makna empati dan tanggungjawab kemanusiaan.
Rasional Pelaksanaan Ziarah
- Pesakit dan waris sering berhadapan tekanan emosi, kesunyian dan keletihan fizikal.
- Sokongan rohani dapat memberi kekuatan dan ketenangan kepada mereka.
- Ziarah yang beradab dan berhemah membantu mencetuskan suasana positif dan penuh kasih sayang.
- Masyarakat memerlukan panduan untuk memastikan ziarah dilaksanakan secara teratur, sopan dan selamat.
Objektif Ziarah
- Meningkatkan amalan kerohanian dan pengamalan gaya hidup sihat dalam kalangan sukarelawan, pesakit dan waris.
- Membentuk sikap prihatin dan empati terhadap keperluan orang lain.
- Memberi sokongan moral dan spiritual kepada pesakit dan keluarga.
- Memupuk nilai kasih sayang, ihsan, sabar dan syukur dalam kalangan komuniti.
Motivasi Ziarah
Dalil Al-Quran
“Dan berbuat baiklah kamu sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.” (Surah al-Qasas: 77)
Ayat ini menjadi asas bahawa setiap insan dituntut untuk berbuat kebaikan sebagaimana Allah melimpahkan kebaikan kepada kita. Ziarah pesakit ialah antara bentuk kebajikan yang sangat tinggi nilainya di sisi Allah SWT.
Dalil Hadis
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menziarahi saudaranya yang sakit, maka dia sentiasa berada dalam taman-taman syurga sehingga dia kembali.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini menggambarkan betapa tingginya ganjaran bagi orang yang menziarahi pesakit. Setiap langkah menuju rumah atau katil pesakit diibaratkan berada dalam taman-taman syurga — suatu ibadah yang disertai rahmat dan keberkatan.
Hikmah Ziarah & Adab
Hikmah Ziarah
- Menyuburkan kasih sayang dan silaturahim.
- Menenangkan hati pesakit dan memberi kekuatan mental.
- Menginsafkan diri bahawa kesihatan ialah nikmat besar.
- Membuka ruang amal soleh bagi masyarakat untuk saling membantu.
Adab & Etika Ziarah
- Ikhlas kerana Allah, bukan untuk pujian.
- Menjaga aurat, pergaulan dan batas syarak.
- Tidak mengambil gambar tanpa izin.
- Tidak mempamerkan kesedihan berlebihan di hadapan pesakit.
- Menggunakan kata-kata lembut dan memberi harapan positif.
- Menjaga rahsia pesakit dan waris.
- Menjadikan ziarah sebagai cara menyembuhkan hati melalui empati dan doa.
Langkah Ziarah — Terperinci
A. Sebelum Ziarah
- Kemaskini dan kenal pasti pesakit serta dapatkan izin waris. Rujuk kepada pengerusi/jawatankuasa tertinggi jika lawatan dilakukan atas nama Sahabat Hospital.
- Jika berkumpulan, agihkan tugas: pemudah cara, pembaca doa, dokumentasi.
- Pakaian sopan, menutup aurat sepenuhnya; elakkan pakaian yang mendedahkan kulit atau ketat.
- Berniat dan baca doa sebelum berangkat:
"Ya Allah, jadikanlah ziarah ini sebagai amal soleh yang Engkau redhai dan sembuhkanlah saudara kami yang sedang diuji." - Sediakan pas sukarelawan, vest Sahabat, bahan sumbangan serta borang refleksi/temu bual.
B. Semasa Ziarah
- Beri salam, senyum dan perkenalkan diri.
- Bertanya khabar dengan lembut dan ikhlas.
- Elakkan soalan yang menyentuh perasaan atau maruah.
- Galakkan pesakit untuk bersabar dan bertawakal.
- Boleh bacakan doa pendek atau zikir bersama pesakit.
- Hadkan tempoh ziarah — hormati keperluan rehat pesakit.
- Catat keperluan tambahan pesakit untuk tindakan susulan.
Doa kepada Pesakit (Tulisan Arab & Maksud)
Imsahil ba’sa rabban nasi. Bi yadikas syifa’u. La kasyifa lahu illa anta. Maksudnya: "Tuhan manusia, sapulah penyakit ini. Di tangan-Mu lah kesembuhan itu. Tidak ada yang dapat mengangkatnya kecuali Kau."
Selawat Syifa’ (Ringkasan maksud)
Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad yang merupakan ubat kepada hati-hati manusia dan penawarnya, kesembuhan bagi badan-badan dan penyembuhnya, cahaya segala penglihatan dan sinarannya; limpahkanlah kesejahteraan kepada ahli keluarga baginda serta para sahabatnya.
C. Selepas Ziarah
- Ucapan terima kasih kepada pesakit/waris sebelum beredar.
- Doakan kesembuhan mereka.
- Lakukan muhasabah — apa yang dipelajari daripada ziarah.
- Sediakan laporan ringkas (nama pesakit, keadaan, keperluan).
- Kongsikan pengalaman untuk menggalakkan semangat kesukarelawanan.
Instrumen Ziarah & Borang
Kandungan instrumen seperti dalam modul asal disediakan untuk muat turun kepada fasilitator dan sukarelawan. Senarai instrumen termasuk:
- Senarai Semak Pelaksanaan Ziarah
- Senarai Semak Bengkel TOT
- Soal Selidik Tahap Pengetahuan & Kemahiran Sukarelawan
- Borang Maklum Balas Peserta
- Borang Refleksi Ziarah (Individu)
Senarai Semak Pelaksanaan Ziarah Cakna Pesakit
Sebelum Ziarah
- [ ] Buat temujanji ziarah dengan waris/pesakit
- [ ] Senarai nama dan alamat pesakit dan waris
- [ ] Pas sukarelawan / vest Sahabat
- [ ] Mengulangkaji modul ziarah cakna pesakit
- [ ] Bahan sumbangan / cenderahati disediakan
- [ ] Doa dan niat sebelum berangkat
- [ ] Borang refleksi & temu bual dibawa
Semasa Ziarah
- [ ] Memberi salam & memperkenalkan diri
- [ ] Memastikan keselesaan pesakit/waris
- [ ] Menjalankan sesi doa ringkas / bacaan surah
- [ ] Menyampaikan sumbangan dengan tertib
- [ ] Berinteraksi secara sopan dan empati
- [ ] Mengisi borang temu bual pesakit/waris
- [ ] Mengambil gambar untuk dokumentasi (dengan izin)
Selepas Ziarah
- [ ] Laporan ringkas disediakan
- [ ] Refleksi & borang maklum balas dikumpul
Penutup Modul
Ziarah pesakit bukan sekadar menziarahi jasad yang terlantar, tetapi menyentuh hati yang mungkin kesepian. Setiap senyuman, doa dan sapaan yang lahir dari keikhlasan akan menjadi cahaya dalam kehidupan pesakit — dan dalam hati sukarelawan itu sendiri.
Semoga modul ini menjadi pedoman bagi setiap langkah kita dalam berkhidmat kepada insan yang diuji.
"Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat hati dan amal kamu." (Hadis Riwayat Muslim)
اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا وَمِنْهُمْ صَالِحَ الْأَعْمَالِ
"Ya Allah, terimalah daripada kami dan mereka segala amalan yang baik."



